Allah SWT berfirman yang bermaksud: Sesungguhnya Kami (Allah) telah mengemukakan amanah (tugas-tugas keagamaan) kepada langit, bumi dan gunung-ganang. Maka semuanya enggan untuk memikul amanah itu dan mereka bimbang akan mengkhianatinya, dan dipikullah amanah itu oleh manusia. Sesungguhnya manusia itu amat zalim dan amat jahil. (al-Ahzab: 72)
Begitulah beratnya setiap tanggungjawab yang perlu kita pikul, dimana ia memerlukan sifat amanah yang wajib disertakan dengan niat yang ikhlas. Sebagai manusia, kita dilantik oleh Allah SWT sebagai khalifah di atas muka bumi ini.
Justeru, harus sedar betapa pentingnya peranan dan tanggungjawab kita, setelah kita bersetuju dan berjanji kepada Allah untuk menjadi khalifah di dunia.
Setiap manusia tidak akan lepas dan tidak dapat lari daripada tanggungjawab. Setelah kita dipertanggungjawabkan, bukan mudah untuk kita melaksanakannya.
Ini kerana, sekiranya gagal dalam melaksanakan tanggungjawab dan amanah yang diberi, kita akan dipersoalkan di kemudian hari. Oleh sebab itu, bukan calang-calang orang yang mampu dan bersedia untuk menggalas tanggungjawab.
Ia tidak cukup dengan hanya melaksanakannya, tetapi yang paling penting perlu disertakan dengan amanah dan niat yang betul.
Contoh paling mudah untuk kita teladani ialah Nabi Muhammad SAW di mana baginda adalah seorang manusia yang sangat amanah di dalam kehidupannya seharian. Sehingga beliau digelar sebagai al-amin (orang yang dipercayai) oleh penduduk Mekah pada waktu itu.
Bukan sahaja di kalangan para sahabat dan kaum muslimin, bahkan kaum musyrikin Mekah dan musuh-musuh Islam mengiktiraf sifat yang ada pada diri baginda Nabi SAW
Perkara utama yang perlu kita laksanakan sebagai hamba adalah tugas kita kepada sang pencipta, iaitu Allah SWT. Mentauhidkan Allah, sembahyang, puasa, zakat dan juga haji adalah merupakan amanah besar yang perlu dipikul oleh setiap individu muslim.
Namun apa yang menyedihkan, masih ramai di antara kita yang tidak peduli dengan kewajipan tersebut yang wajib kita laksanakan.
Sebagai contoh, masih ramai umat Islam di negara kita tidak menunaikan atau meringan-ringankan rukun Islam kedua iaitu solat. Solat fardu lima waktu merupakan tunjang agama Islam, bersesuaian dengan sabda Nabi SAW yang bermaksud: Solat itu adalah tiang agama, maka barang siapa yang mendirikan solat, sesungguhnya dia telah menegakkan agamanya, dan barang siapa yang meninggalkannya, maka sesungguhnya dia telah meruntuhkan agamanya.
Kajian menunjukkan bahawa 80% umat Islam di negara kita tidak menunaikan solat. Ini amat membimbangkan, kerana peratusan tersebut menunjukkan angka yang sangat besar.
Melalui solat, jiwa manusia akan menjadi lembut dan terdidik dengan pengabdian kita kepada Allah, kerana di dalamnya terdapat rukun-rukun dan syarat-syarat yang perlu dipatuhi oleh seorang hamba supaya patuh terhadap undang-undang yang telah ditetapkan oleh penciptanya agar solat tersebut diterima.
Terlalu banyak rahsia solat yang tidak terungkai oleh manusia. Ini kerana ia adalah hubungan antara hamba dan pencipta (hablum minallah) yang Maha Mengetahui.
Buat para pembaca yang saya hormati, ingin saya tekankan di sini bahawa, salah satu faktor terbesar yang menyumbang berlakunya gejala-gejala yang tidak sihat seperti perceraian, pembunuhan, rompakan, pergaduhan, buang bayi, anak luar nikah, merempit, berjudi, menilik nasib, dan perbuatan tidak baik yang berlaku dalam masyarakat hari ini berpunca daripada lemahnya iman.
Ia natijah daripada tidak mengabdikan diri kepada Tuhan, dengan melakukan solat yang difardukan kepada kita.
Lebih menyedihkan, apabila seseorang yang kerap menunaikan solat atau tidak pernah meninggalkan solat, tetapi solatnya tidak dapat mencegah dirinya daripada melakukan kemungkaran.
Allah SWT menjelaskan hal ini di dalam firmannya yang bermaksud: Maka kecelakaanlah (nerakalah) bagi orang-orang yang solat, tetapi mereka lalai dari solatnya. (al-Maa'uun: 4-5)
No comments:
Post a Comment